ABSTRAX™ /// IN THE NEWS

ABSTRAX™ | In the News

Roadtour flyer Final

Our ABSTRAXROADTOUR project were featured in the news recently in Utusan Malaysia, 31/9/2013. Below are the excerpt of the interview in Bahasa Malaysia.

/// ABSTRAXROADTOUR 1.0 TEMUI PEMINAT

ABSTRAX™ yang sebelum ini terkenal sebagai pengeluar barangan jenama tempatan bergerak lebih agresif apabila mereka memulakan siri jelajah bagi menemui peminat tempatan dengan lebih dekat. Baru-baru ini, melalui Abstrax Road Tour 1.0 yang berlangsung selama enam hari, kumpulan itu telah singgah di beberapa bandar di utara dan pantai timur seperti Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Alor Setar, Sungai Petani, Pulau Pinang, Taiping dan Ipoh.

Menurut ketua kru, Dr. Faiz I. Anuar, ABSTRAX™ mengambil inisiatif sendiri untuk menjadi perintis dalam usaha memperkenalkan jenama pakaian tempatan kepada pasaran tempatan. “Dengan perancangan rapi, saya bersama rakan lain sebulat suara mengadakan siri jelajah Malaysia ala-ala ‘guerilla marketing’ dan sambutan yang diterima, boleh dikatakan sangat hebat. “Selain itu, projek ini juga adalah inisiatif dan usahasama pertama di negara kita yang menerajui konsep road tour mesra pelanggan. Kami sangat terharu dengan kerjasama dan sokongan yang diterima,” katanya.

Dia bersama kru yang lain iaitu Fahmi Fabilah dan Yim Ahmad turut mengajak peminat jenama tempatan untuk menyertai siri jelajah kedua yang masih di dalam perancangan. “Kami juga menggunakan pendekatan ‘anti-marketing’ yang mana konsep jelajah Malaysia ini menggunakan media sosial terutamanya Twitter dan Facebook untuk berkomunikasi dengan peminat, di samping memperkenalkan jenama dengan konsep yang sederhana, tulen, dan eksklusif,” ujarnya.

Sementara itu, Fahmi berkata, cara sebegini dapat memberi impak yang lebih berkesan apabila peminat berasa dihargai setiap kali Abstrax sampai di tempat mereka. “Kami memang mahu melihat sendiri peminat kami, selain merapatkan lagi hubungan antara jenama yang kami bawa dengan peminat di setiap negeri. “Saya juga memandang usaha ini sebagai cara baharu untuk kami meluaskan lagi pasaran barangan jenama tempatan, sekali gus mengajak atau menjadi contoh kepada jenama-jenama lain agar melakukan perkara yang sama,” katanya.

Tambahnya, program ini menjadi lebih menarik apabila mendapat kerjasama daripada peminat dan pengikut Abstrax yang dikenali sebagai Trooperz di setiap lokasi yang mereka singgah. Dalam pada itu, Trooperz sempat membawa mereka bersiar-siar di beberapa lokasi persinggahan ABSTRAX™  RoadTour 1.0, di samping beramah mesra sesama mereka. – AZRIN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130831/ke_03/Abstrax-Road-Tour-10-temui-peminat#ixzz2dl8ept6I
© Utusan Melayu (M) Bhd