ABSTRAX™ IN THE NEWS

ABSTRAX™ IN THE NEWS – Kosmo MY.

DSC_068

Langit Impian ABSTRAX™

ABSTRAX™ was featured on the front page of Kosmo MY. Below are the excerpt of the news in Bahasa Malaysia. Enjoy!

BERBEKALKAN segunung harapan dan selautan usaha, Mohd. Fahmi Mohammad Fabilah nekad menubuhkan ABSTRAX™. Perkembangan fesyen jalanan dalam kalangan remaja tempatan sejak lima tahun lalu dijadikan inspirasi. Cubaan Mohd. Fahmi, 31, menjadi dan membuahkan sedikit demi sedikit kejayaan.

Selaku pengasas, beliau sedar bahawa dia memerlukan lebih ramai individu kreatif bagi mengendali ABSTRAX™. Lantas, lahir barisan individu dengan idea-idea unik untuk membawa jenama pakaian lokal itu ke tahap membanggakan seperti hari ini. Gerakan bawah tanah fesyen jalanan kemudiannya beranjak menjadi gaya harian. Anak-anak muda mula beralih minat daripada jenama antarabangsa kepada rekaan label-label tempatan. Sejujurnya, ABSTRAX™ merupakan antara nama yang bertanggungjawab mencetuskan revolusi positif tersebut.

Satu per satu perusahaan pakaian tempatan diwujudkan sehingga membolehkan pameran dan jualan besar-besaran seperti Tempatan Fest diadakan. Siapa sangka, masyarakat Malaysia kembali meletakkan kepercayaan kepada hasil kerja anak tempatan, malah ia turut mencuri perhatian orang luar.

Peluang melibatkan diri di Pameran Dagangan Pakaian Jalanan dan Urban Ulung Asia 2013 di Jakarta, Indonesia pada pertengahan bulan lalu menjadi permulaan kepada Abstrax untuk mengetengahkan rekaan mereka ke pentas dunia.

Sebagai salah satu wakil negara, ABSTRAX™ berhasrat untuk mengembangkan pasaran jenama mereka ke seluruh benua Asia dan Eropah. Setiap item keluaran jenama itu diperhati dan dinilai syarikat-syarikat global, sama ada mereka layak untuk diberi peluang memasarkan hasil kerja ke peringkat antarabangsa atau tidak.

“Penyertaan pertama kami tidak begitu memberangsangkan dari segi penerimaan dalam kalangan syarikat besar. Bagaimanapun kami tidak kecewa kerana ia telah memberi ruang kepada ABSTRAX™ untuk bekerjasama dengan jenama luar.

Keistimewaan ABSTRAX™ terletak pada kepelbagaian item keluarannya.

“Tiga label pakaian Indonesia telah bersetuju untuk berkolaborasi dengan ABSTRAX™ dan ia secara tidak langsung membantu kami untuk melebarkan perniagaan ke negara seberang,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif ABSTRAX™, Dr. Faiz I. Anuar, 33, ketika ditemui Stailo.

Pengalaman sepanjang tiga hari berkampung pada pameran itu turut menemukan mereka dengan pengikut setia ABSTRAX™ dari republik berkenaan. Paling mengharukan apabila mereka didekati pembeli yang datang dari Makassar semata-mata ingin membeli barangan ABSTRAX™.

“Kebanyakan pembeli Indonesia mengikuti perkembangan kami menerusi laman Facebook dan apabila mereka tahu kami di sini, mereka ambil kesempatan untuk bertemu tenaga kerja di sebalik jenama ini,” tambah Dr. Faiz.

Variasi

Magis ABSTRAX™ terletak pada variasi rekaan yang dihasilkan. Tiada istilah terhad dalam setiap karya mereka. Disebabkan itu, ABSTRAX™ mampu melakar kejayaan lebih awal berbanding label-label tempatan lain. Bermula dengan baju-T biasa, Abstrax kemudiannya bereksperimen dengan mencipta jaket, baju-T polo, jean, topi dan blazer.

Permintaan tinggi orang ramai terhadap baju-T dan topi snapback ABSTRAX™ telah membuka jalan kepada mereka untuk lebih berani mempelbagaikan item keluaran. Jaket kasual berserta baju-T polo dan seluar chinos menyusul, seterusnya menjadi petanda awal bahawa jenama itu akan terus mengukuhkan namanya dalam industri pakaian tempatan.

Kekurangan label tempatan mengeluarkan koleksi denim dalam rangkaian seluar jean dijadikan peluang keemasan ABSTRAX™ untuk terus memajukan empayar kecil mereka. Maka tercipta tiga rekaan jean ABSTRAX™ dengan potongan biasa (regular), skinny dan langsing (slim), kesemuanya mengekalkan rona asli denim iaitu biru.

Ciri-ciri eksklusif ABSTRAX™ ketara pada topi keluarannya. Kualiti diutamakan, sekali gus menciptakan aksesori kepala urban buat pencinta fesyen jalanan. Diperbuat daripada fabrik ringan premium berteraskan rekaan lima panel, kesemua topi ABSTRAX™ membentuk ciri-ciri versatil moden dengan jayanya.

Bagi menambah aura maskulin remaja, sarungkan jaket celoreng ABSTRAX™ yang digelar RVJ. Ideal untuk aktiviti luar dan dalam, jaket itu dibuat khusus untuk memberi keselesaan dan mengatasi stail konservatif. Paling istimewa, jaket daripada material poliester bersama perincian grafik itu direka dengan ciri-ciri rintang angin dan air.

Propaganda

“Kami mahu mencapai audiens yang lebih besar, jadi kami perlu meluaskan kreativiti dari segi rekaan dan produksi item. Ia sangat penting kerana kami mahu Abstrax menjadi jenama lain daripada yang lain.

“Setakat ini kami berjaya membentuk pengikut sendiri dan sasaran kami tentunya kelompok pelajar kolej dan universiti,” kongsi Fahmi yang memberitahu bahawa hitam kekal menjadi warna signatur Abstrax.

Selain bertujuan membentuk gaya individualiti kepada pengikut mereka, Abstrax juga cuba mencerminkan sisi kepimpinan dalam rekaan mereka. Item paling laris di bawah koleksi Propaganda menjadi intuisi subjektif terhadap empat pemimpin tanah air yang disegani.

Nilai utama setiap pemimpin diangkat menjadi gambaran kebanggaan pengikut Abstrax sebagai seorang rakyat Malaysia. Penghormatan menjadi milik bekas Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas kewibawaan beliau memimpin negara selama 22 tahun.

Baju-T lengan pendek dan panjang dengan wajah Mahathir berserta perkataan Respect ialah rekaan paling diminati, khususnya dalam kalangan golongan belia.

Rekaan bertunjangkan tema Malaya Heroes itu turut meliputi Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang mendukung mesej kesatuan (unity), Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dengan kredibiliti beliau sebagai Bapa Pembangunan menerusi wadah Progress dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mewakili jati diri keagamaan bersandarkan subjek Faith.

Menolak perihal politik sebagai pencetus Propaganda, tegas Fahmi, Abstrax sekadar memberi penghargaan kepada empat pemimpin tersebut yang dilihat banyak berbakti terhadap pembangunan infrastruktur, sosial dan insani di Malaysia.

Setiap rekaan dikongsikan kepada orang ramai dan terpulang kepada individu memilih pejuang nusa dan bangsa mengikut firasat peribadi masing-masing. Abstrax berharap ia dapat menyuntik semangat nasionalisme dalam diri pengikut mereka terutamanya orang muda.

Bentuk gaya urban bersahaja dengan jaket varsiti yang pasti menyerlahkan sisi remaja.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Stailo&pg=st_01.htm#ixzz2rzHPNR8u
Hakcipta terpelihara